Penantian untuk mengetahui empat pasukan yang bakal beraksi di pentas Liga Premier Futsal Institut Pengajian Tinggi (IPT) 2025 berakhir pada malam tadi.
Pusingan kelayakan yang cukup sengit sejak 21 Februari itu menyaksikan empat slot menjadi milik Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIUM), Universiti Malaya (UM) dan TATI University College (TATIUC).
UPM yang dibimbing jurulatih berpengalaman, Nazim Din beraksi dengan baik untuk menundukkan Kolej Poly-Tech Mara (KPTM) Kuantan 5-3 manakala IIUM pula tidak berdepan masalah menewaskan Universiti Selangor (UNISEL) 3-0.
Universiti Malaya (UM) kembali semula ke Liga Premier IPT selepas menewaskan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menerusi penentuan sepakan penalti selepas aksi 40 minit berkesudahan 1-1.
TATI UC pula menjadi wakil tunggal dari Institusi Pengajian Tinggi Swasta selepas mengepikan cabaran Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) dengan kemenangan 3-0.
Sehubungan dengan itu, saingan Liga Premier 2025 akan membariskan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Teknologi Mara (UiTM) Perlis, University of Nottinham Malaysia (UONM), Management Science University (MSU), Universiti Utara Malaysia (UUM), UPM, IIUM, UM dan TATI UC.
Sementara itu, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Kolej Poly-Tech Mara (KPTM) Bangi mengesahkan kemaraan ke saingan Liga Wanita bagi menyertai pasukan nama besar seperti UiTM, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Kredit Foto: Liga Futsal IPT