PTT Bluewave Chonburi

PTT Bluewave Chonburi Bergaya Mulakan Kempen Liga Futsal Thailand 2020

Facebook
Twitter
Pinterest
WhatsApp
Telegram

Kempen Liga Futsal Thailand 2020 yang membuka tirainya hari ini menyaksikan kelab gergasi, PTT Bluewave Chonburi berjaya mencatat kemenangan sulung selepas menundukkan Phetchaburi Rajabhat 5-0 pada aksi yang berlangsung di Bangkok Futsal Arena, Nong Chok, Thailand.

Aksi pada 10 minit awal bagaimanapun memperlihatkan kepincangan pada aksi skuad yang dibimbing Carlos César Núñez Gago itu apabila Petchaburi dilihat lebih menguasai permainan serta mencipta beberapa peluang.

Beberapa saat selepas sepak mula dilakukan, pasukan tuan rumah hampir membuka tirai jaringan menerusi rembatan Nattapat Thepmanee tetapi penjaga gol Chonburi, Kattawut Hankhampa lebih bersedia untuk menafikan percubaan tersebut.

Meskipun kelihatan agak sedikit bergelut untuk mencipta gerakan berbahaya, kelab yang dibarisi sebahagian besar pemain skuad kebangsaan Thailand itu berjaya memperolehi jaringan pendahuluan menerusi Peerapat Kaewwilai. Rembatan padu dari luar kawasan D diledakkannya tidak mampu dihalang penjaga gol utama Phetchaburi, Nobpachai Noijun.

Nattapat sekali lagi memiliki peluang keemasan setelah Kattawut keluar daripada posisinya tetapi pivot Phetchaburi itu hampa selepas Apiwat Chamcharoen berjaya mengeluarkan bola ketika pintu gol Chonburi sudah pun terbuka luas..

Ronnachai Jungwongsuk. Kredit foto: PTT Bluewave Chonburi

Bintang Thailand yang baru sahaja direkrut Chonburi bagi menghadapi saingan liga musim ini, Muhammad Osman Musa menambah jaringan kedua pada minit ke-11 apabila pusingan cantik dilakukannya disudahkan pula dengan satu rembatan menewaskan Nobphacai.

Chonburi hampir menambah jaringan ketiga berselang beberapa minit kemudian tetapi percubaan lambung hasil serangan balas pantas dilakukan Supakorn Sang-Am sekadar singgah di tiang gol Phetchaburi.

Ketinggalan dua gol tidak langsung melemahkan semangat para pemain Phetchaburi yang hampir merapatkan defisit jaringan menerusi Kawin Kaewpraset. Sepakan tonjol diledakkannya bagaimanapun tersasar di sebelah kiri pintu gol.

Ketika aksi separuh masa kedua baru saja bermula, Ronnachai Jungwongsuk pantas menjadikan kedudukan 3-0 selepas beliau menyudahkan dengan tenang peluang hasil umpanan daripada Nattawut Madyalan. Pemain berusia 23 tahun itu menambah jaringan kedua peribadinya sekaligus mengukuhkan lagi kelebihan buat juara Piala Fa Thailand 2019 tersebut.

Tidak cukup dengan itu, ketua pasukan, Kritsada Wongkaew turut meletakkan nama selaku penjaring apabila percubaan susulannya selepas sepakan percuma yang terkena benteng yang dibina pemain Phetchaburi menerjah gawang untuk perlawanan berkesudahan 5-0 memihak Chonburi.

Foto: Phetchaburi Rajabhat Futsal Club

 

 

 

 

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Shopping Cart
Subscribe Now & Unlock 10% Discount! Don't miss out on amazing deals! Click the 'Subscribe' button to receive an exclusive 10% discount on your next purchase. Stay updated with the latest offers and promotions from us! No Subscribe